KUALA LUMPUR: Meskipun dirinya dikenali ramai, namun hal itu tidak dianggap sebagai kelebihan untuk menang mudah di Parlimen Sungai Buloh, demikian menurut calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Begitu juga dengan jawatan di dalam kerajaan iaitu Menteri Kesihatan dan jawatan-jawatan lain dalam Kabinet, namun sepertimana calon-calon lain, Khairy berkata beliau masih perlu berusaha keras dalam tempoh berkempen selama dua minggu ini.
“Itu pun saya tidak ambil kira sangat sebab saya macam calon lain-lain juga jadi saya kena guna tempoh kempen ini untuk merayu dan bentang visi saya.
“Tidak saya Menteri Kesihatan atau apa, saya hanya seperti calon lain di sini,” tambah beliau.
Apatah lagi dengan rekod Sungai Buloh yang disandang Pakatan Harapan (PH) selama tiga penggal, Khairy menyifatkan ia cabaran besar buat dirinya.
Pada PRU14, R. Sivarasa dari PKR memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh dengan majoriti 26,634 undi untuk menewaskan menewaskan calon Barisan Nasional, Pas dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Pada PRU-15, Khairy akan berhadapan dengan enam lagi pesaing iaitu Datuk R Ramanan dari Pakatan Harapan, Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional), Mohd Akmal Yusoff (Gerakan Tanah Air), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua calon bebas masing-masing, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff, serta Nurhaslinda Basri.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, beliau kini menumpukan usaha mendekati kumpulan belia yang tidak berparti di kawasan bandar Sungai Buloh.
Justeru itu katanya beliau menubuhkan mengumpul sukarelawan bagi membantunya berkempen tanpa perlu mendaftar sebagai ahli parti.
Ujarnya, sehingga kini lebih 1,500 sukarelawan berjaya dikumpul oleh TeamKJ.
“Kita kena dekati kumpulan yang tidak berparti sebab di bandar ramai orang muda tidak sertai mana-mana parti.
“Kalau nak menyumbang kempen mungkin rasa segan atau tidak mahu sertai secara rasmi UMNO atau BN atau PH. adi apabila kita wujudkan sukarelawan mereka lebih suka datang sebab tidak perlu lalui proses pendaftaran rasmi dengan parti,” katanya.