KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata desakan supaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sejak beberapa hari lalu berlandaskan rasa amarah, emosi dan kecewa semata-mata.
Namun apa yang penting pada hari ini dan di masa akan datang adalah untuk mengkaji punca kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini dan memperbaiki kelemahan.
“Saya ingat memang mudah (gesa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi letak jawatan)…itu mungkin jalan pintas dan jalan mudah nak beri alasan atas kekalahan. Tapi, seelok-eloknya kita kaji dan buat post-mortem tengok apa punca-punca kelemahan dan sebagainya.
“Apabila tengah marah emosi, semua itu akan macam-macamlah…saya pun tak nak tergolong macam itu, biar kita reda kita lakukan post-mortem, kita cari kelemahan-kelemahan kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, terdapat banyak perkara yang perlu dikaji berhubung kekalahan dialami UMNO terutama berhubung isu-isu yang dimainkan dalam PRN.
Beliau tidak menafikan mungkin suasana politik pada Pilihan Raya Umum lalu yang masih lagi dirasai atau mungkin rakyat belum merasai sepenuhnya kesan daripada usaha kerajaan dalam membangunkan negara.
“Jadi, akhirnya semua ini yang kita dapat (kekalahan)…dan mungkin banyak pengundi UMNO penyokong UMNO, ini pertama kali mereka bekerjasama dalam satu pasukan yang dulunya mereka lawan sesama sendiri.
“Ini semua ambil masa. Jadi, cuma masa akan menentukan,” ujarnya.
Sejak PRN yang berlangsung Sabtu lalu, kedengaran banyak suara mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan susulan kekalahan teruk yang dialami Barisan Nasional terutama UMNO.
Ia susulan UMNO hanya memenangi 19 kerusi daripada 108 kerusi yang ditandingi.