Kit Siang Beri Keterangan Polis Berhubung Kenyataan Bukan Melayu Jadi PM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Lim Kit Siang memaklumkan beliau akan bekerjasama memberi keterangan kepada pihak polis berhubung satu kenyataan dikeluarkannya di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu.

Veteran DAP itu bagaimanapun tidak memperincikan balai polis mana yang akan beliau pergi untuk memberikan keterangan.

“Saya akan berjumpa polis dalam beberapa hari akan datang berhubung komen yang saya buat kepada pelajar Malaysia di Manchester lewat bulan lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kit Siang menegaskan, beliau tidak mempunyai niat untuk berbuat demikian.

“Saya dituduh membuat komen yang provokatif apabila saya menyatakan bahawa Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa seorang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri.

“Tiada niat sedemikian. Perlembagaan Malaysia adalah dokumen yang tidak memprovokasi, asas di mana perpaduan Malaysia harus diasaskan,” katanya lagi.

Media hari ini melaporkan Kit Siang akan memberikan keterangan di balai polis SS2 Petaling Jaya, Rabu ini.

Kit Siang sebelum ini mengesahkan beliau akan memberikan keterangan kepada polis.

Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu semasa ceramahnya kepada pelajar Malaysia di Manchester mengambil maklum bahawa Amerika Syarikat mengambil masa 230 tahun sebelum seorang rakyat berkulit hitam (Barrack Obama) diangkat menjadi presiden dan dia berharap bahawa tidak lama lagi seorang bukan Melayu pula menjadi perdana menteri.

Dalam kenyataannya, Lim berkata, buat masa ini, untuk orang bukan Melayu menjadi perdana menteri Malaysia adalah “kenyataan fakta” tetapi bukan “kenyataan realiti”.

BBerkaitan

Latest articles