Kira-kira 60 buah kelab di liga bawahan di England berdepan kemungkinan muflis jika keadaan sukan bola sepak di negara itu masih tidak berjalan seperti biasa selepas terhenti kerana penularan wabak Covid-19.
Pemilik Kelab Huddersfield Town Phil Hodgkinson berkata saingan kompetitif bola sepak Inggeris telah diberhentikan sejak bulan Mac lepas.
Liga Championship 2 kini sudah terlepas masa untuk kembali menjalani latihan dalam kumpulan kecil hari ini, dan mereka masih berharap dapat melengkapkan baki perlawanan musim ini walaupun perlawanan diadakan secara tertutup.
“Masalah sebenarnya ialah bukan sama ada musim ini berjaya dilengkapkan atau tidak tetapi apa yang akan berlaku selepas itu.
“Jika tidak ada sebarang jalan penyelesaian, kemungkinan sukan bola sepak akan lumpuh.
BACA JUGA – Netizen Kongsikan Gelagat Khatib Menyampaikan Khutbah Di Aidilfitri
“Ada kelab yang masih boleh beroperasi ketika ini kerana mereka memotong gaji, menangguhkan pembayaran hutang tetapi pada satu masa mereka akan terpaksa juga membayarnya,” katanya menurut laporan agensi berita Reuters.
Menurut Hodgkinson, keadaan paling teruk ialah apabila pada musim depan, perlawanan akan diadakan tanpa kehadiran penyokong dan penonton yang akan membuatkan beberapa buah kelab akan kehilangan sumber kewangan utama mereka.
Pihak kelab kini sudah pun menanggung perbelanjaan besar untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas para pemain dan pegawai.
“Ini adalah satu kenyataan, jika tidak ada satu pun jalan untuk kelab boleh mula membuat pembayaran hutang mereka, dan mendapat kembali sumber kewangan, anda akan melihat antara 50 ke 60 kelab akan menutup operasi mereka dan tidak lagi wujud,” katanya.
Beliau memberikan cadangan untuk gaji pemain dipotong antara 30 hingga 50 peratus sehingga penyokong boleh kembali menonton bola sepak untuk semua kelab yang menghadapi masalah masih beroperasi dan bernyawa. – TRI