KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih berteka-teki mengenai masa depannya dalam arena politik, ketika tumpuan beliau kini lebih terarah kepada kerja kebajikan melalui Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).
Menurut Ahli Parlimen Bera itu, beliau buat masa ini lebih selesa menumpukan perhatian terhadap kebajikan anak-anak yatim, termasuk yang diuruskan sendiri di bawah YKM.
“Saya seronok mengurus kebajikan anak-anak yatim sekarang. Soal politik boleh berubah bila-bila masa. Jika saya putuskan sesuatu nanti, saya akan maklumkan,” katanya selepas melancarkan program Larian Keluarga Malaysia 2025, Sukarelawan YKM serta penyerahan Bantuan Menara Gading, hari ini.
Ismail Sabri ditanya mengenai perancangan politiknya susulan kontroversi siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beliau.
Terdahulu, SPRM beberapa kali memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung pengisytiharan harta, selain merampas wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas bernilai kira-kira RM7 juta.
Rampasan itu dibuat hasil siasatan terhadap empat pegawai kanan beliau yang ditahan pada Februari lalu.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjelaskan, pihaknya masih menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) sama ada pendakwaan terhadap Ismail Sabri akan diteruskan atau sebaliknya.