Kibarkan bendera putih di rumah jika anda harapkan pertolongan

 

Kempen mengajak orang ramai mengibar bendera berwarna putih tular dalam pelbagai platform media sosial, hari ini.

Tinjuan Kosmo! mendapati carian kata kunci bendera putih dalam medium Facebook, Instagram dan Twitter mendapati saranan mengibarkan bendera putih disyorkan kepada mereka yang menghadapi kesusahan dan memerlukan pertolongan terutamanya dalam berdepan cabaran musim pandemik.

“Saya nasihatkan kepada semua yang susah, tiada makanan, naikkan bendera putih di rumah anda. Biar orang di sekeliling memberi sedikit sebanyak yang termampu.

“Jangan ambil tindakan merugikan diri-sendiri dan keluarga. Elakkan stres, berkongsilah masalah dengan orang ramai. Tidak perlu merayu.

“Tidak perlu rasa malu. Hanya kibarkan kain putih. Semoga ada yg datang membantu,” tulis seorang pemilik akaun Facebook bernama Jah yang dipercayai antara individu terawal memulakan kempen tersebut kira-kira 11 jam lalu.

Seorang pemilik akaun Twitter bernama Jassa Li berkata, dia ternampak hantaran gambar di laman Facebook yang memaparkan tindakan meletak bendera putih seperti itu telah dilakukan jiran di rumah keluarganya di Johor Bahru semalam.

“Saya bertanya kepada kakak saya adakah perkara itu benar. Katanya betul. Keluarga tersebut terputus bekalan makanan. Ada anak kecil dan isteri sedang tunggu hari untuk bersalin,” kongsinya.

Rata-rata netizen menulis kata-kata sokongan dan menyatakan kesediaan untuk menghulur bantuan kepada individu yang berbuat demikian dan menyifatkannya idea tersebut amat bijak.

“Jiran adalah orang yang paling dekat dengan kita kerana jiran juga adalah keluarga. Kibarkan bendera putih supaya kami tahu. Kibarkan untuk kami bantu. Kibarkan untuk kami berganding bahu,” tulis Akmal Masduki di Instagram.

“Kempen ini begitu indah dan sekali lagi mengingatkan kita betapa kuatnya ikatan antara rakyat Malaysia di atas segala-galanya. Alhamdulillah, walau apa yang terjadi sekalipun, kita masih mempunyai ruang untuk kemanusiaan,” ciap pengguna Twitter bernama Hamizahani.

“Idea yang amat bernas, kita mesti bantu rakyat Malaysia yang susah sampai tidak ada makanan. Jangan sesekali fikir untuk bunuh diri. Rakyat menolong rakyat,” komen seorang netizen bernama Sana Balakrishnan.

“Betul idea yang terbaik. Zaman Covid-19 ini jangan malu. Jangan banyak pendam. Kita tolong sesama kita. Kasihan anak-anak kecil. Siapa yang pernah mengalami kesusahan dan kelaparan saja yang tahu betapa azabnya. teruskan,” sokong Iena Azlin. – K! ONLINE

BBerkaitan

Latest articles