Khidmat Tan Sri Zuki sebagai KSN wajar diteruskan

Pentadbiran negara perlu mempunyai dasar persyarikatan kerajaan dan kakitangan awam bagi membolehkan penjawat awam serta ahli politik bekerja sebagai satu pasukan.

ia kerana penjawat awam adalah pihak yang melaksanakan dasar kerajaan dan mereka perlu bekerja dengan komitmen dan sepenuh hati tanpa ada pertikaian mengenai kesetiaan terhadap kerajaan sedia ada.

Dan hubungan serta komitmen di atas kesetiaan penjawat awam itu berjaya dibuktikan oleh Ketua Setiausaha Negara yang ke 15, iaitu Tan Sri Zuki yang dilantik menjadi Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada tanggal 15 januari 2020 yang lalu.

Pastinya di dalam tempoh pasca PRU-14 lalu, negara menyaksikan 3 Perdana Menteri dilahirkan dari beberapa gabungan politik yang tidak pernah berlaku sepenjang tempoh 65 tahun kemerdekaan negara.

PENTADBIRAN MERENTASI SEMPADAN POLITIK

Disebalik 3 Perdana Menteri itu, hanya satu orang sahaja Ketua Setiausaha Negara yang meneruskan serta menjalankan fungsinya sebagai ketua penjawat awam di Malaysia

Beliau akur dan terus menjalankan amanahnya sebagai KSN dan merupakan saksi kepada 3 Perdana Menteri dan barisan kabinetnya mengangkat sumpah perjawatan.

Tidak pernah ada di dalam sejarah negara, di dalam tempoh 4 tahun, 3 Perdana Menteri mengangkat sumpah perjawatannya dan lebih istimewa Tan Sri Zuki juga sebelum ini, pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2017 pada zaman Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Malah sebelum itu juga, beliau juga pernah berkhidmat kepada SPB, Yang dipertuan Agong sebagai Setiausaha Sulit Kanan dari tahun 2006 sehingga 2011.

Sebagai seorang bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada YDPA sudah sah menandakan perentasan segala batasan dan label politik negara.

PENGALAMAN DAN KELAYAKAN

Untuk rekod, Tan Sri Zuki Memiliki Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 31 tahun.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Selain itu, beliau pernah bertugas di Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri, Setiausaha Persekutuan Sarawak dan menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Malah kepimpinannya sebagai ketua penjawat awam terserlah ketika negara berhadapan dengan mengurus bencana Covid-19, dimana negara dan dunia berhadapan dengan satu cabaran baharu iaitu menguruskan bencana kesihatan.

ini memerlukan satu pasukan yang mantap diantara pembuat polisi, dan juga badan perlaksana polisi yang telah dibuat ketika itu.

Beliau juga terkenal dengan prinsip FASTER (Flatter, Agile, Streamlined, Tech-enabled, Efficient dan Resilient) dalam perkhidmatan awam.

“FASTER merujuk kerja secara Flatter, Agile, Streamlined, Tech-enabled, Efficient dan Resilient. Prinsip ini mesti diamalkan dan dilaksanakan oleh semua peringkat.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali ketika melakukan tinjauan mengejut ke beberapa premis kerajaan bagi memantau pengoperasian pejabat dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

MENGHIDUPKAN MALAYSIA KETIKA DARURAT

Negara Malaysia dapat berjalan seperti biasa disebabkan jasa Tan Sri Zuki Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara mengambil peranan yang sangat penting pada ketika itu untuk meneruskan operasi kerajaan apabila kesemua kuasa eksekutif negara hilang peranan mereka semasa darurat diistiharkan.

Pada ketika itu , jentera pentadbiran negara tidak terkesan dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat kerana segala operasi dalam sektor awam dan swasta, yang merangkumi aktiviti ekonomi, industri serta rantaiannya, berjalan seperti biasa.

Keadaan ini lebih membuktikkan bahawa Tan Sri Zuki Ali sebagai tiang yang merentasi politik dan parti politik.

Ketika kesemua ahli politik negara Malaysia secara teknikalnya hilang kuasa mereka maka beliau tampil untuk meneruskan amanah sebagai KSN demi memastikan segala urusan dan pentadbiran negara masih lagi bergerak seperti biasa dan lancar.

BERJIWA DAN MILIK RAKYAT – “DIGITAL FIRST , CITIZEN CENTRIC”

Falsafah pentadbiran Tan Sri Zuki Ali berpegang kepada laungan yang sering dilaungkan oleh beliau iaitu “Digital First , Citizen Centric” yang bermaksud pentadbiran yang berteraskan jiwa dan aspirasi rakyat.

Oleh sebab itu , ketika PKP dilaksankan semasa negara berhadapan dengan serangan pandemik beliau memastikan para penjawat perlu berterusan untuk menyampaikan perkhidmatan awam kepada rakyat.

siapa sangka kerajaan akan melaksanakan arahan bekerja dari rumah ketika itu, jika dahulu semua penjawat awam tertakluk kepada arahan untuk memasuki dan bekerja di Pejabat, namun kerana darurat kesihatan yang dikuatkuasakan para penjawat awam boleh menjalakan tugas di rumah.

Tugasan bekerja dari rumah dan hanya perlu ke pejabat mengikut giliran dan keperluan kerja dilancarkan demi memastikan segala perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas ketika PKP.

PEWARIS LEGASI TAN SRI DATO’ SRI DR. ALI BIN HAMSA – SIMBOL PENTADBIRAN AWAM

Tan Sri Zuki ketika Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa meninggalkan pejabat pada hari terakhir perkhidmatannya sebagai ketua setiausaha negara.

Beliau merupakan DNA dan anak didik Mantan Ketua Setiausaha Negara iaitu Tan Sri Dato Sri Dr Ali Hamsa yang berkhidmat dari 2012 sehingga 2018.

“Sejak awal menyertai perkhidmatan awam, Allahyarham (Tan Sri Dr. Ali Hamsa) adalah cikgu saya,” kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Tan Sri Zuki Ali pernah berkata, beliau sendiri pernah berkhidmat di bawah Allahyarham di beberapa kementerian dan agensi.

“Banyak ilmu yang dicurahkan kepada kami dan segala jasanya tidak dapat saya lupakan.
Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa pula merupakan seorang tokoh dan ikon dalam dunia pentadbiran awam negara Malaysia dan baton ini kini disambung oleh anak didiknya Tan Sri Zuki Ali.

Natijahnya , Tan Sri Zuki Ali bukan milik sesiapa melainkan Rakyat. Justeru wajarlah kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri menyambung perkhidmatan Tan Sri Zuki Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara memandangkan negara masih lagi di dalam tempoh pemulihan wabak covid-19 dan keadaan yang semakin mencabar ketika ini.

Negara memerlukan pentadbiran awam yang neutral, tidak berpihak kepada tekanan politik sewaktu negara kini sedang memasuki tempoh peralihan tampuk kepimpinan politik negara. PRU-15 boleh datang pada bila-bila masa, sementara menanti kematangan pentadbiran politik baharu tidak lama lagi, wajarlah Tan Sri Zuki meneruskan khidmatnya sebagai Ketua Setiausaha Negara.

________________________________________________________________________

Penulis merupakan bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang kini berkhidmat sebagai usahawan di dalam bidang teknologi dan latihan

** penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencermikan pandangan pentadbir dan pengarang The Rakyat Insight

 

Latest articles

Related articles

spot_img