KUALA LUMPUR: Penggunaan khidmat ‘coach cerai’ di media sosial tidak wajar dijadikan budaya dalam kalangan umat Islam kerana berisiko mendorong pasangan ke arah perpisahan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Beliau menegaskan, sebarang masalah rumah tangga sepatutnya dirujuk kepada institusi berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), bukannya pihak tidak bertauliah.
Menurutnya, dalam Islam wujud konsep takhbib, iaitu perbuatan menghasut atau memfitnah dengan niat memisahkan suami isteri, yang dianggap dosa besar kerana meruntuhkan institusi perkahwinan.
“Takhbib melibatkan campur tangan pihak ketiga yang berniat jahat sama ada melalui kata-kata, perbuatan atau fitnah sehingga menimbulkan syak wasangka dan pertengkaran antara pasangan,” katanya.
Mengulas isu ‘coach cerai’, beliau berkata mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Dr Zulkifli turut mengingatkan bahawa memberi nasihat berkaitan perkahwinan dan perceraian memerlukan ilmu serta kefahaman agama yang tepat.
“Nasihat tanpa sandaran syariat atau datang daripada pihak tidak berkelayakan bukan sahaja mengelirukan, malah boleh merosakkan rumah tangga dan menjejaskan emosi pasangan,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai pendirian kerajaan terhadap trend penggunaan ‘coach cerai’ di media sosial.
Katanya, Islam menekankan pendekatan islah, rundingan dan kebijaksanaan sebelum sebarang keputusan drastik dibuat.
Dengan mendapatkan bimbingan daripada pihak berautoriti termasuk kaunselor bertauliah dan Mahkamah Syariah, beliau berkata hak serta tanggungjawab suami isteri dapat dilindungi, selain memastikan setiap keputusan dibuat secara berhikmah dan berpandukan syariat.










