Khalid Ibrahim Perlu Dikenang Jasanya, Kata Anwar

SHAH ALAM: Pemergian bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu dikenang sebagai seorang individu korporat yang prihatin terhadap rakyat khususnya bumiputera semasa berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Demikian menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menambah bahawa dirinya terkesan dengan pemergian Abdul Khalid.

Apatah lagi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu yang mengusulkan idea membantu bumiputera termiskin melalui Skim Pinjaman Amanah Sham Bumiputera kepada Rakyat Termiskin bermula dengan RM700 juta dilancarkan di Baling, Kedah yang kesudahannya mengubah kehidupan kira-kira 140,000 rakyat Malaysia pada 1992.

“Walaupun berlainan institusi pembelajaran, saya rasa sangat terkesan dengan pemergiannya. Dia datang dengan idea membantu bumiputera termiskin yang dianggap Program Amanah Saham Bumiputera Termiskin yang dilancarkan di seluruh negara dan berpangkalan di Baling.

“Ini agak lain berbanding program biasa yang dibuat kerajaan sekarang yang menggunakan agensi baharu, kemudian pihak pengurusan bergaji tinggi dan kos pengurusan yang tinggi.

“Tapi dahulu sewaktu melaksanakan program itu, kita menggunakan agensi sedia ada dengan wang dana dari Bank Negara sebagai pinjaman kepada setiap keluarga bumiputera di seluruh negara dengan setiap satunya menerima pinjaman RM5,000”

“Kita tidak boleh terlepas dari mengenang sosok tokoh profesional ini, seorang pengurus yang berbeza dari yang dikenali sekarang,” katanya ketika ditemui selepas hadir bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagi memberikan penghormatan terakhir kepada allahyarham di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara hari ini.

Kedua-dua mereka mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Khalid yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Presiden PKR itu turut menambah beliau menghargai sokongan Abdul Khalid yang juga salah seorang penyokong tegar parti ketika di zaman reformasi.

“Sewaktu menjadi MB, beliau memiliki pengurusan dana yang sangat cekap dan basis, lebih prihatin terhadap rakyat yang terkesan dalam bidang ekonomi,” katanya.

Berita Berkaitan

Komen

Terkini