Khaled Nordin Mengantarabangsakan Sektor Pendidikan Tinggi Negara

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melakukan kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Qatar bagi beberapa inisiatif baharu yang memanfaatkan kedua-dua buah negara tersebut.

Antara inisiatif baharu tersebut adalah, mewujudkan usahasama penyelidikan, khususnya dalam impak perubahan iklim, keterjaminan makanan dan keperluan menguruskan ‘technological disruptions’, penawaran program luar pesisir (offshore programme) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kampus Doha, Qatar, dan penyaluran dana Qatar Fund for Development bagi tujuan pendidikan serta kerjasama antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan Qatar University.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri KPT telah mengetuai rombongan Malaysia ke Doha, Qatar bagi tujuan berkenaan.

Selain daripada hubungan antara kedua-dua buah kementerian, Mohamed Khaled turut mengadakan perbincangan strategik bersama Qatar Foundation, Education Above All Foundation, Foundation for Humanity, Aljazeera Media Institute dan The Regional Group of Qatar.

Dalam sesi lawatan kerja ini juga, Mohamed Khaled dapat menyaksikan proses persefahaman melalui Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dengan Aljazeera.

“Melalui MoU tersebut, mahasiswa jurusan komunikasi UIAM akan berpeluang mendapat latihan lapangan (field training) dan menyertai kursus serta program yang disediakan oleh Aljazeera.

“KPT mengalu-alukan kerjasama antara pihak universiti dan industri seperti ini bagi memastikan kredibiliti serta daya saing program universiti dapat ditingkatkan sekali gus melonjakkan kadar kebolehpasaran graduan negara,” katanya kepada pihak media.

Manakala The Regional Group of Qatar pula bertanggungjawab dalam pengurusan dan penyediaan kemudahan fasiliti serta infrastruktur Kampus cawangan UKM di Doha, Qatar yang sedang dalam pembinaan.

Dalam persefahaman ini pula, pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan bertanggungjawab dalam penyediaan input akademik, termasuklah melibatkan kurikulum, pengajaran dan pembelajaran (P&P), jaminan kualiti serta pengijazahan.

Lawatan kerja selama dua hari ini dilihat mampu memberi kesan berimpak tinggi kepada proses pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

BBerkaitan

Latest articles