Khaled: Biarlah PAS Nak Cakap Apa Tentang MN

PASIR GUDANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan Pas tidak mempunyai pendirian tetap dan komitmen yang kukuh berhubung kerjasama di dalam Muafakat Nasional (MN).

Parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu juga gagal menentukan hala tuju kerjasama tersebut sehingga kini.

Khaled berkata Pas bebas untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung status MN namun keputusan kerjasama itu akan diputuskan apabila sampai masanya nanti.

“Mengenai MN saya sudah malas nak komen, keadaan (kenyataan) Pas berpusing-pusing jadi saya tidak mahu komen, biarlah dia nak cakap apa kita dengar dan lihat sahaja, sampai masa kita buat keputusan,” katanya.

Reaksi Khaled itu merujuk kepada kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Sabtu lalu yang menolak kenyataan UMNO bahawa MN kini sudah ‘nyawa-nyawa ikan’.

Ia berikutan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat iaitu UMNO menyifatkan kerjasama dengan Pas menerusi MN ibarat ‘nyawa-nyawa ikan’.

BBerkaitan

Latest articles