Khairy Nak Menang di Sungai Buloh, Mahu Bersihkan UMNO

SUNGAI BULOH: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mendakwa parti itu sudah “sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan”.

Justeru itu, beliau bertekad untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bagi memastikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal menjadi Perdana Menteri, kemudian mahu ‘membersihkan’ kembali UMNO dan BN.

Tambah Khairy, beliau juga mahu mengembalikan UMNO khususnya menjadi wadah perjuangan yang boleh dibanggakan orang Melayu, seperti satu ketika dulu.

“Cuma UMNO (kini) dah sesat, dan kena kembali ke pangkal jalan. Kena fix (perbaiki) balik UMNO ni lagi, perbetulkan UMNO. Dan saya bukan ‘yes man’.

“Pertama, saya nak menang pilihan raya ini, nak pastikan Ismail Sabri kembali menjadi Perdana Menteri, selepas itu kita bersihkan balik UMNO dan BN, kita cuci balik,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Silaturrahim anjuran Pertubuhan Amal Kebajikan Agama dan Masyarakat (Perakam) di sini, malam tadi.

Selain itu, Khairy juga turut menggelarkan dirinya sebagai “reformis Umno” dan menganggap itu faktor dirinya diletakkan di kerusi Parlimen Sungai Buloh.

“Saya seorang reformis dalam Umno, tak boleh kunci mulut, sebab itu (agaknya) saya dihantar ke Sungai Buloh,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengakui bertanding di Sungai Buloh merupakan cabaran terbesar dalam karier politiknya.

Kata Khairy, beliau bukan seperti pemimpin lain dalam UMNO yang hanya berani memilih untuk bertanding di kawasan selamat.

“Buat kali pertama, ada wakil daripada parti saya yang memegang jawatan di dalam Jemaah Menteri, yang berani untuk bertanding (di kawasan tidak selamat) di Selangor.

“Selama ini tokoh besar dalam parti saya selalu cuba, dan memilih kawasan yang selamat. Sebab itu tidak ada saingan yang hebat di Selangor. Kalau dulu yang menang Tan Sri Noh Omar saja. Itu pun di Tanjung Karang.

“Nak datang sedikit bandar macam Sungai Buloh tak ada siapa yang berani. Kuala Selangor pun tiada yang berani, kecuali Tengku Zafrul pergi ke Kuala Selangor. Walaupun ada sedikit kenyataan saya dan presiden (yang berbeza), akhirnya saya juga yang pilih untuk lawan di sini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles