Khairy Kongsi Keadaan Kesihatan Pak Lah Yang Kini Nyanyuk

KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi semakin merosot apabila beliau kini menghidap penyakit demensia atau nyanyuk.

Perkara itu dikongsikan buat pertama kalinya oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dengan memaklumkan
keadaan bapa mertuanya itu yang mesra disapa dengan Pak Lah itu tidak lagi mengingati namanya, isteri serta ahli keluarga lain.

Pak Lah juga dilaporkan semakin sukar untuk bercakap.

Dalam masa yang sama Khairy berkata, Pak Lah sihat dan berada dalam keadaan baik serta lebih selesa berada di rumah untuk mengelak jangkitan Covid-19.

“Saya ingin berkongsi satu perkara peribadi yang tidak pernah dikongsikan sebelum ini yang Pak Lah menghidap demensia.

“Beliau mula menunjukkan tanda kecacatan kognitif (cognitive impairment) sejak 2009 selepas beliau bersara daripada jawatan Perdana Menteri.

“Saya beritahu mengenai penyakit dihidapi Pak Lah ini selepas mendapat persetujuan daripada keluarganya kerana ramai tertanya-tanya keberadaannya dan sudah lama tidak melihatnya di tempat umum.

“Beliau kini terpaksa duduk atas kerusi roda, umpama mempunyai kehadiran fizikal dan fikirannya tiada,” katanya di Majlis Pelancaran Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Schizophrenia (Edisi Kedua) di Sheraton Imperial, hari ini.

Khairy menambah, Pak Lah kini tidak lagi dalam keadaan normal kerana tidak mengenali orang terdekatnya.

“Saya tahu beliau masih mengenali saya apabila melihatnya mengerdipkan mata, apabila saya melawatnya.

“Lebih banyak hari yang sukar berbanding hari yang lancar. Jadi doakan beliau dan kami berharap untuk hari yang lebih baik akan datang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles