KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) di Sg. Buloh, Khairy Jamaluddin mengakui bukan tugas mudah apabila diberi mandat untuk menawan Parlimen Sg.Buloh bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri Kesihatan itu berkata, Parlimen Sungai Buloh yang ditandinginya bukanlah kawasan putih, bukan juga kelabu tetapi kawasan gelap gelita seperti dirinya juga.
“Sungai Buloh ini bukan kawasan putih, bukan kelabu juga. Ini kawasam gelap gelita macam saya juga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Bersama KJ di Parlimen Sungai Buloh di Kuala Lumpur, malam semalam.
Khairy berkata, demografi Sungai Buloh menggambarkan Malaysia sebenar, dengan kira-kira 65 peratus komposisi Melayu, China 21 peratus, India 10 peratus dan lain-lain dua peratus.
“Kepada pengundi di Sungai Buloh tanpa mengira kaum dan bangsa, saya akan terus berjuang untuk anda, kerana saya pemimpin Malaysia,”katanya.
Tambah Khairy, BN tidak boleh berterusan hanya berjuang di kawasan putih khususnya luar bandar kerana atas tiket kerusi selamat sebaliknya perlu menang di kawasan bandar yang banyak dikuasai parti pembangkang.
Pada PRU-14, Parlimen Sungai Buloh, disandang oleh R Sivarasa dari PKR dengan meraih 43,631 undi menewaskan Nuridah dari Pas yang memperoleh 16,977 undi, A Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (642).
Sungai Buloh disandang Sivarasa sejak 2008.