Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang juga `orang kuat’ Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa bekas Perdana Menteri itu supaya tidak membuang masa bersama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menunjukkan keikhlasan.
Malah tindakan Presiden PKR itu, katanya yang menyatakan mahu mengetuai pembangkang menjadi bukti bahawa Anwar tidak langsung mengiktiraf Dr. Mahathir.
“Dalam PH kini cuma diwakili oleh PKR, DAP serta Amanah sahaja. Anwar seperti tidak mengiktiraf Dr Mahathir walaupun beliau sudah menyatakan bersama pembangkang dan akan duduk di bahagian pembangkang pada sesi Parlimen yang akan datang.
“Di mana letaknya sebahagian daripada pemimpin-pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyebelahi Dr Mahathir?,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Isnin lalu, Anwar dalam satu sesi temuramah dengan Consider This, menyatakan buat masa ini beliau mengetuai pembangkang.
“Pakatan Harapan ada 92 wakil dan telah membuat keputusan berdasarkan parti yang masih ada iaitu DAP, Keadilan dan Amanah.
“Bagi Pakatan Harapan, ia masih sama, sayalah ketua. Namun, kami akan terus bekerjasama dengan pemimpin dari parti pembangkang yang lain. Tidak disebut langsung oleh Anwar bahawa sebahagian daripada penyokong Bersatu masih dalam gagasan PH,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung pada 9 Mac lalu, ditangguhkan ke 18 Mei dan akan diadakan selama sehari sahaja dengan mengambil kira langkah-langkah pencegahan yang perlu susulan penularan Covid-19.
Dr Mahathir mengesahkan beliau akan duduk di blok pembangkang ketika sesi Parlimen kali ini dan menjadi Perdana Menteri kedua yang duduk di bangku pembangkang. Sebelum ini Najib Razak menjadi bekas perdana menteri pertama yang berbuat demikian.
Ia juga akan menyaksikan buat pertama kalinya ahli Parlimen dari parti yang sama duduk di kedua-dua blok yang bertentangan.
Dalam pada itu, Khairuddin berkata, Anwar perlu berhenti berangan untuk menjadi Perdana Menteri dan beliau merupakan liabiliti utama kepada PH. Malah katanya, pada Pilihan Raya Umum (PRK) ke-14 lalu, rakyat mengundi dan menyokong PH kerana faktor Dr. Mahathir.
“Anwar tiada kebolehan untuk memimpin negara tetapi cuma pakar bermain politik secara pecah dan perintah,” katanya yang sebelum ini berulang kali meminta Dr. Mahathir supaya tidak tunduk kepada Anwar dan segelintir penyokongnya.
Dalam pada itu, Khairuddin turut memaklumkan PH tidak boleh lagi mempertikai kesahihan kerajaan Perikatan Nasional selepas pertemuan antara Anwar dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 April lalu.
“Saya tidak tahu sama ada lakonannya untuk berjumpa dengan Muhyiddin direstui oleh pemimpin-pemimpin PH dari semua gabungan parti-parti yang lain dalam PH?
“Sekarang PH tidak boleh mempertikaikan lagi kesahihan kerajaan PN kerana kunjungan Anwar itu secara tidak langsung sudah pun mengiktiraf kerajaan PN yang diterajui oleh Muhyiddin,” katanya.