Khairuddin Terus ‘Pujuk’ UMNO-PAS Berdamai

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali menggesa PAS dan UMNO untuk saling tidak bercakaran dan memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk.

“Elakkan serang menyerang yang membina persepsi. Bentangkan fakta secara ilmu dan dedikasi. Jangan sombong dan angkuh berbicara. Jangan menyindir yang keras dan pedas menghiris rasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tidak pasti kenyataan itu merujuk kepada siapa, namun seperti diketahui umum hubungan antara PAS dan UMNO seolah-olah di penghujung jalan.

Terbaru, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa UMNO sebagai ‘harimau kena tembak’ dan pada masa yang sama, mempelawa parti itu menumpang kekuatan PAS di Kedah pada PRU-15.

Bagaimanapun sindiran itu ditepis Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang secara sinis berkata, sebagai parti yang dilabelkan sebagai ‘itik patah kaki’ dan ‘harimau kena tembak’, UMNO tidak mahu ‘merosakkan’ PAS.

Sementara itu, Khairuddin terus mendesak kedua-dua parti yang bersepakat di dalam Muafakat Nasional (MN) itu untuk mengekalkan silaturrahim walaupun terdapat perbezaan pendapat dan pandangan.

Apatah lagi beliau merasakan kedua-duanya saling memerlukan mendepani PRU15.

“Kita bersama selangkah seiring berpimpin tangan membina politik baharu, politik generasi ke hadapan untuk anak cucu mendatang,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

“Perlawanan adik beradik mencari yang terbaik. Persaingan sihat mesra rakan menawar khidmat kepada umat,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles