Khairuddin Dipelawa Teruskan Perjuangan Politik Bersama UMNO

JOHOR BAHRU: Tan Sri Annuar Musa menjemput bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali yang mengumumkan keluar parti hari ini, untuk menyertai UMNO.

Dalam satu kenyataan di laman sosialnya, Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh memberitahu dirinya tidak terkejut dengan keputusan Khairuddin untuk keluar parti.

“Beliau diketahui disisih beberapa kali dalam partinya dan berhadapan beberapa isu lain. Saya yakin beliau seorang ahli Parlimen yang kental semangatnya.

“Sebagai rakan ahli Parlimen, saya berharap beliau mempertimbangkan untuk terus berjuang menerusi wadah UMNO dan Barisan Nasional pula. Insya-Allah,” kata Annuar.

Petang tadi, Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengumumkan keluar daripada PAS dan menjadi wakil rakyat Bebas.

“Alasan berhenti daripada PAS sukar untuk dijawab.

“Saya sayangkan PAS. Saya ‘kekal PAS’ insya-Allah tetapi bukan sebagai ahli organisasi kekal tetapi kekal dengan matlamat perjuangan dasar dan tujuan insya-Allah.

“Sementara itu bebas, ahli Parlimen bebas. Agak berat untuk saya memohon berhenti tetapi itu peruntukan perlembagaan yang ada, memohon berhenti dengan sendiri,” kata Khairuddin.

Sebelum ini, Khairuddin giat mengkritik PAS apabila parti itu bertindak ‘menyebelahi’ Perikatan Nasional (PN) dan membelakangi UMNO melalui Muafakat Nasional (MN).

BBerkaitan

Latest articles