Khairuddin Dakwa Majlis Syura Ulama PAS Tak Sokong Bersama PN

 

 

 

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulama PAS didakwa tidak pernah membincangkan sebarang gabungan antara parti itu dengan Perikatan Nasional (PN).

 

Perkara itu didedahkan bekas Setiausahanya, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali sambil menambah bahawa isu penubuhan gabungan itu juga tidak dibincangkan dalam badan parti berkenaan.

 

Tegas Mohd Khairuddin, keadaan itu adalah bertentangan dengan Perlembagaan PAS yang menyatakan untuk perkara melibatkan gabungan atau kerjasama dengan parti lain mesti mendapat persetujuan Majlis Syura Ulama.

 

“Ini berbeza dengan Muafakat Nasional (MN) yang melalui banyak tapisan dan lapisan iaitu dari MSUP ke Jawatankuasa PAS Pusat dan muktamar.

 

“Selepas itu kedua parti bersetuju mewujudkan Piagam MN yang dimeterai pada 14 September 2019. Penubuhan MN melalui proses yang panjang dan mengikut perlembagaan,” katanya menerusi temubual dengan Nrchanneltv malam tadi.

 

Katanya, ini lain dengan PN, yang ditubuhkan tidak mengikut susur galur sebagaimana MN.

 

Berikutan itu, kata beliau, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berbincang.

 

“Saya dimaklumkan oleh Ahmad Zahid, dalam pertemuan itu, kedua mereka bersetuju untuk bersama. Malangnya, ia tidak menjadi kenyataan selepas PAS bertemu dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jawatankuasa Pas pusat yang bermesyuarat minggu lalu membuat keputusan untuk tidak bersama dengan UMNO.

 

“Adakah keputusan ini dibuat oleh MSUP? Ini soalannya. Ahli juga bertanya, keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pas pusat untuk tidak meneruskan muafakat dengan UMNO adakah itu keputusan MSUP?” soal beliau.

 

Menurut Mohd Khairuddin, MSUP merupakan badan tertinggi PAS yang menentukan sama ada boleh atau tidak sebarang bentuk hubungan antara dua parti dilakukan.

 

Malah ahli PAS juga berhak bertanyakan kepada pimpinan parti mengenai keputusan untuk terus kekal bersama PN.

 

Beliau menjelaskan, harapan untuk kedua parti terbesar orang Melayu dan Islam itu duduk bersama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah harapan ahli bawahan, walaupun ada yang menafikannya.

 

“Kami ahli bawahan mahu PAS bersama UMNO kerana mereka melihat kebersamaan dua parti inilah yang akan menyaksikan satu keadaan yang kukuh hingga 129 kerusi Parlimen kita boleh menang.

 

“Maka, ini adalah peluang yang dilihat oleh ahli yang perlu dilaksanakan oleh pimpinan parti, tapi sayang…,” katanya.

 

Menurutnya, ahli bawahan PAS sangat gembira apabila mendapat tahu Abdul Hadi bertemu dengan Ahmad Zahid.

 

“Mereka sangat gembira. Ahli PAS gembira, ahli UMNO pun gembira. Mereka mengharapkan sesuatu yang menggembirakan berlaku.

 

“Tetapi apabila keluar keputusan, amat kecewa. Namun, sebagai ahli parti, mereka kena ikut parti masing-masing. UMNO dengan UMNOnya, PAS dengan PASnya,” katanya.

 

 

BBerkaitan

Latest articles