KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan tuduhan kononnya kerajaan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dikuasai oleh DAP yang menentang Islam adalah tidak benar sama sekali.
Malah bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga menyifatkan tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan perpaduan itu sebagai tidak mencerminkan fakta yang dipamerkan dalam Dewan Rakyat.
“Faktanya ialah Kerajaan Perpaduan didominasi oleh 73 ahli parlimen Melayu Islam. Pecahannya ialah 26 BN ,18 PKR, 11 GPS, 8 Amanah, 3 GRS, 3 Warisan 3 DAP dan 1 MUDA.
“Barisan pembangkang daripada PN pula mempunyai 72 ahli parlimen Melayu Islam. 73 vs 72 Melayu Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sedangkan, menjadi kewajipan 145 Ahli Parlimen beragama Islam di Dewan Rakyat memastikan Kerajaan Perpaduan terus dipayungi oleh Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu.
“(Seramai) 72 daripada PN berkewajipan menjadi pembangkang yang melaksanakan semak dan imbang,” katanya.
Reaksi Khairuddin itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi kenyataan mendakwa DAP bersikap melampau apabila cuba menipu dengan menampilkan ahli, calon dan pemimpin daripada wajah Melayu Islam namun tidak boleh menghalalkan ideologinya yang bercanggah dengan Islam.
Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa DAP menyebarkan fahaman Islamofobia terhadap golongan bumiputera bukan Islam walaupun pemimpin parti itu pernah memohon maaf terhadap kesilapan lalu.