Khabar Harrison Bertanding Di Jeram Dengan Tiket PN Dah Kedengaran Sebulan Lalu

KUALA LUMPUR: Desas-desus Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh, Datuk Harrison Hassan akan diletakkan di DUN Jeram mewakili Perikatan Nasional (PN) sudah bertebaran sejak sebulan yang lalu.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN malam tadi, tidak mengejutkan gabungan berkenaan.

“Saya sudah dengar sebulan lebih awal, saya tidak terkejut. Kita hanya memerlukan ahli-ahli yang taat kepada parti mengikut peraturan parti jika mereka lebih taat parti lain eloklah pilihan itu dibuat oleh mereka.

“Apabila ianya disahkan untuk bertanding atas tiket parti lain maka mengikut Perlembagaan UMNO dan juga peraturan dalam Lembaga Displin secara automatik tergugur keahliannya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sosial Negara kali kedua di bangunan Perdana Putra, hari ini.

Bagaimanapun Ahmad Zahid belum dapat memastikan sama ada Harrison sudah keluar daripada UMNO sebelum pengumuman calon dibuat Muhyiddin semalam.

Sementara itu, Ahmad Zahid menafikan dakwaam kononnya UMNO membincangkan calon jawatan Timbalan Menteri Besar dan Timbalan Ketua Menteri yang akan dilantik selepas PRN.

Sekiranya ada sekali pun, Presiden UMNO itu berkata, ia akan dibuat selepas parti dalam Kerajaan Perpaduan memenangi PRN pada 12 Ogos depan.

“Kita tidak pernah pun membincangkan perkara itu, let us cross the bridge first (biar menang dahulu) untuk itu kita tunggu selepas 12 Ogos dan kita yakin apa yang penting ialah sekurangnya tiga negeri yang sedia ada kerajaan di bawah Kerajaan Perpaduan untuk memenangi semula negeri berkenaan.

“Jangan pernah terfikir untuk lebih daripada memenangi kerusi-kerusi yang telah diperuntukkan kepada mana-mana parti. Tiga negeri yang bukan di bawah Keraajan Perpaduan kita mesti berusaha dengan lebih kuat dan penuh kebijaksanaan politik untuk kita meraih dokongan daripada pengundi di negeri berkenaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles