Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membidas bekas menteri wilayah persekutuan, Khalid Samad yang secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan berkenaan isu ketuanan Melayu.
Presidennya, Aminuddin Yahaya menyifatkan ciapan Khalid di Twitternya pada semalam seolah-olah cuba memberi gambaran buruk terhadap kaum Melayu.
“Tidak ada angin, tidak ada ribut, tiba-tiba Khalid membuat kenyataan sebegini. Biasanya apabila duduk saja-saja sambil bosan semasa cuti dan membuat luahan sebegini datang dari suatu perasaan dan emosi yang menebal dan terpendam lama.
“Saya tak faham, apa faedahnya Khalid mengeluarkan kenyataan liar sebegini. Jangan kerana mileage politik, kamu sanggup memburuk-burukkan bangsa sendiri.
“Sejak bila orang Melayu memahami Ketuanan Melayu sebegitu rupa?” katanya dalam satu muatnaik di Facebook semalam.
Tegas Aminuddin, kaum Melayu berjaya membuktikan mereka sebagai bangsa yang bertolak-ansur, apatah lagi peluang diberikan kepada kaum lain untuk hidup selesa dan mewah di Malaysia, meskipun di kawasan yang penduduknya ramai Melayu.
Khalid, bagaimanapun memuatnaik satu lagi ciapan di Twitternya pagi ini, berkenaan isu yang sama dengan mendakwa ‘ketuanan’ membawa maksud yang buruk.