Ketua Wanita DAP tegas kerajaan tak sokong LGBT

Kerajaan tidak menyokong golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT), tegas ketua Wanita DAP selepas tular di media sosial tentang perkahwinan sejenis seorang perempuan yang dikaitkan dengan parti itu.

Chong Eng berkata perempuan terbabit difahamkan berada di Amerika Syarikat selepas lama meninggalkan Malaysia, dan tidak lagi mewakili DAP selepas berundur dari politik.

“Kita juga tidak mengetahui apa-apa (perkara peribadi) yang dilakukan dia selepas pergi ke negara itu.

“Ingin saya tegaskan bahawa kerajaan sekarang juga tidak menyokong LGBT dan janganlah guna isu ini sebagai modal politik,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas suatu majlis rapat umum di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Menurut laporan itu, baru-baru ini tular di media sosial tentang perkahwinan sejenis dua wanita, yang dipapar bersama di sebuah inap desa di Pulau Pinang.

Majlis Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) juga dilaporkan akan menyiasat dakwaan berkenaan.

Di Malaysia, tiada peruntukan perundangan spesifik terhadap gerakan LGBT. Namun, perbuatan homoseksual dan seksual di luar tabii merupakan satu kesalahan berdasarkan undang-undang di Malaysia.

Merujuk kepada undang-undang Jenayah Sivil, Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa ‘Sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela akan dihukum penjara maksimum 20 tahun termasuk sebatan.’

BBerkaitan

Latest articles