Ketua Pengarah JAS Didakwa Terima Suapan RM100,000, Mohon Dibicarakan

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM100,000, tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Suzana Hussin selepas pertuduhan dibacakan.

Tertuduh yang memakai kot hitam dilihat tenang sebelum memohon agar kes tersebut dibicarakan sepenuhnya.

Mengikut pertuduhan, Wan Abdul Latiff, 58, didakwa menerima wang berkenaan daripada pengarah sebuah syarikat melalui pengurus projek sebagai dorongan untuk mempertimbangkan rayuan pengecualian penyediaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Ia melibatkan cadangan projek pembinaan jalan berkembar Bukit Kukus serta kerja-kerja tanah mitigasi di Paya Terubong, Pulau Pinang.

Permohonan berkaitan projek itu dikemukakan oleh sebuah syarikat melalui surat bertarikh 22 November 2024.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di pejabat tertuduh di Putrajaya pada 15 Januari 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib.

Sementara itu, peguam bela Mohd Firdaus Ahmad memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dan tidak berisiko melarikan diri.

Mahkamah turut dimaklumkan tertuduh sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 29 Januari sebelum dibebaskan lebih awal, selain hadir semula untuk memberi keterangan pada awal Mac.

Peguam juga memaklumkan tertuduh mempunyai tanggungan keluarga termasuk dua anak yang masih menuntut serta menghidap penyakit kronik.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan kesalahan itu serius kerana melibatkan penjawat awam kanan dan kepentingan awam.

Selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin tempatan serta mengarahkan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Mei depan.

BBerkaitan

Latest articles