Ketua Pemuda UMNO Yang Bagaimana Akan Dipilih Selepas Ini?

 

Oleh: Sarfarizmal Saad

Setakat yang diketahui, sudah ada dua orang yang berniat dan berminat untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Mereka adalah YB Senator Datuk Armand Azha Abu Hanifah dari UMNO Bahagian Subang dan YB Dr Akmal Saleh, exco Kerajaan Negeri Melaka.

Mereka menyatakan minat untuk bertanding selepas penyandang, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membuat pengumuman tidak lagi berminat memimpin sayap parti berkenaan.

Dijangkakan terdapat tiga hingga empat nama lagi akan tampil selepas ini memberitahu bahawa mereka juga berminat untuk merebut jawatan itu.

Pastinya jawatan tersebut cukup penting kerana ia bakal menyediakan jentera parti UMNO dalam menghadapi PRU16 akan datang yang majoritinya terdiri daripada pengundi muda.

Ia juga penting kerana inilah kali pertama UMNO akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang merupakan musuh tradisi sejak dari dahulu lagi. Namun selepas PRU15 lalu, kedua-dua parti telah berbaik semula demi sebuah kuasa dalam Kerajaan Perpaduan.

Andai dipilih Ketua Pemuda UMNO yang tidak sealiran dengan Presiden UMNO dan pasukan yang mesra kepada Kerajaan Perpaduan, maka seluruh gerak kerja sayap tersebut akan menghadapi masalah besar.

Ia juga akan merugikan parti UMNO sendiri dalam berhadapan dengan siri-siri pilihan raya, terutama PRU16 akan datang.

Lebih menakutkan, ia berisiko akan menjadi sayap yang menentang Presiden UMNO dari dalam. Dengan kata lain, barah dari dalam daging sendiri. Bahaya untuk parti.

Namun persoalannya mampukah UMNO memilih ketua sayap yang bukan sahaja selari dengan dasar perjuangan yang dibawa oleh Presiden UMNO dan Kerajaan Perpaduan, malah seorang tokoh yang boleh menarik minat pengundi muda?

Jika perwakilan UMNO masih mengharapkan wang dalam memilih pemimpin sendiri, maka berilah sesiapapun bertanding, ia tetap tidak merubah apa-apa dalam perjuangan UMNO.

Hanya calon yang kaya sahaja akan berjaya, manakala calon yang miskin tidak akan sesekali dapat naik dalam UMNO. Walaupun si miskin itu mempunyai bakat besar dan diterima para pengundi muda di Malaysia.

Semoga UMNO dapat berubah dan tidak dikaburi dengan wang ringgit semasa sesi pemilihan pemimpin parti tidak lama lagi.

Jika UMNO masih tidak mahu berubah, maka selepas PRU16 nanti UMNO tetap akan kalah dan mungkin menjadi parti pembangkang paling lemah. Nauzubillah.

 

Penulis merupakan Ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Bangi.

Latest articles

Related articles

spot_img