KENINGAU : Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) N.45 Sook, Rushdy Raphael mengesahkan telah meletak jawatan bagi menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) hari ini.
Beliau bersama seluruh kepimpinan Pemuda PBS N.45 Sook menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PBRS, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup.
Penghijrahan Rusdhy ke PBRS yang diterajui calon No. 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) N.45 Sook dalam Pilihanraya Negeri Ke-17 (PRN17) itu membuktikan PBRS adalah parti yang paling konsisten memperjuangkan masa depan anak muda di kawasan pedalaman Sabah.
Menurut Arthur, tindakan Rusdhy ke PBRS bukan kerana dijanjikan jawatan, sebaliknya langkah itu memberi ruang sebenar kepadanya untuk memimpin.
Beliau berkata demikian pada Majlis Kemasukan Ahli Baharu PBRS di Kampung Barai, Biah dekat sini, hari ini.
Borang keahlian Rushdy dan seluruh kepimpinan Pemuda PBS N.45 Sook diterima sendiri oleh Arthur sebagai tanda menghargai pimpinan belia akar umbi.
Mengulas perkara tersebut, Arthur yang juga ahli Parlimen Pensiangan berkata, tindakan seorang Ketua Pemuda PBS sendiri meninggalkan parti adalah isyarat jelas bahawa PBS dan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semakin hilang kepercayaan di peringkat akar umbi.
“Anak muda tidak lagi yakin dengan hala tuju, pendekatan dan kepimpinan parti tersebut (PBS dan GRS) yang dilihat semakin hilang taring dalam memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Arthur menegaskan langkah Rusdhy menyertai PBRS-BN bukan kerana dipujuk, tetapi kerana melihat sendiri hasil kerja barisan pemimpin PBRS-BN.
“PBRS sentiasa menekankan kualiti kerja, integriti dan pembangunan luar bandar yang terbukti dan boleh dilihat penduduk. Sementara parti-parti lain sibuk dengan perebutan kuasa dalaman,”ujarnya.










