Ketua-Ketua Armada Bahagian Sokong Penuh Perikatan Nasional Dipimpin Tan Sri Muhyiddin

Seramai 144 Ketua Armada Bahagian menyuarakan sokongan penuh mereka kepada Perikatan Nasional (PN) untuk terus dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini menjadi Perdana Menteri.

Exco Armada Nasional Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muzammil Ismail berkata tumpuan sekarang ialah untuk mengukuhkan kerajaan yang ada untuk memastikan ahli parti dan rakyat terus mendapat manfaat dari kerajaan dan rakyat berharap kerajaan ini akan terus berkhidmat dengan lebih baik.

Beliau berkata pimpinan Armada Nasional perlu menghormati struktur organisasi dalam parti.

“Pimpinan Armada Nasional jangan terlalu biadap untuk menjadi ‘jaguh politik dan menjadi lebih sudu dari kuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, laporan media menyebut sayap parti Bersatu itu menyokong supaya parti berkenaan kembali bekerjasama dengan PH.

Muzammil berkata Ketua Armada Syed Saddiq sering mengajar Ahli Armada untuk bersifat biadap dengan melanggar struktur parti dengan membelakangkan suara akar umbi dan kenyataan Ketua-Ketua Bahagian.

“Lupakah pimpinan Armada Nasional bahawa Tun Mahathir sering di ‘gulikan’ oleh parti komponen Pakatan Harapan? Sehingga Tun Mahathir letak jawatan sebagai Perdana Menteri. Di mana pimpinan Armada Nasional pada waktu itu?

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Hj Yassin juga Presiden parti adalah sah dan diperakui oleh Yang Di Pertuan Agong. Adakah kepimpinan Armada Nasional menyoal keputusan YDP? Adakah pimpinan Armada Nasional membelakangkan keputusan YDPA dan Majlis Raja-raja,” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan adakah Armada yang dipimpin oleh bekas Menteri Belia dan Sukan itu dibuat seperti parti dalam parti oleh Syed Saddiq?

Beliau melabelkan Ahli Parlimen Muar itu sebagai pengecut kerana seringkali mengheret Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perisai beliau.

Kenyataan media pimpinan Armada nasional pada 6 Mei 2020 yang mahu Bersatu kembali bersama PH, Syed Saddiq tidak pun meletakkan namanya.

“Armada di peringkat bahagian merasa kenyataan itu tidak mengambarkan keseluruhan pendirian pimpinan Armada dan secara tidak langsung hanya mengeruhkan krisis politik bersatu yang berterusan.

“Adakah Armada Nasional boleh menyenaraikan Armada Bahagian dan Negeri manakah yang menyokong kenyataan bersama ini? Hal ini tidak pernah dibincangkan bersama Ketua Armada Bahagian dimana terdapat 191 Ketua Armada Bahagian termasuk Sabah. Armada Nasional harus menghormati struktur berorganisasi,” tegas Muzammil.

Katanya, boleh dikatakan sebahagian besar Ketua Armada Bahagian tidak menyokong sepenuhnya pendirian rasmi Armada Pusat pada 6 Mei berkenaan.

“Sebagai EXCO Armada Nasional, saya berpegang kepada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 23 Feb 2020 yang memutuskan Parti Bersatu keluar daripada Gabungan Pakatan Harapan (PH). Keputusan ini kekal sehingga terdapat keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) terbaru.

“Saya Muzzammil Ismail bersama 144 Ketua Armada bahagian yang lain berpandangan kenyataan yang dikeluarkan Armada dibawah arahan Syed Saddiq tidak mengambarkan suara akar umbi dan hanya menyebabkan krisis dalaman parti menjadi lebih teruk,” katanya.

Krisis dalaman Bersatu kini dilihat semakin panas apabila ada bahagian lain dalam parti yang menyokong Dr Mahathir mahu Muhyiddin kembali semula kepada Bersatu dan kembali bersama dengan PH. – TRI

BBerkaitan

Latest articles