Ketua Isi Rumah Boleh Tuntut Bantuan Wang Ihsan Setiap Kali Ditimpa Bencana

SHAH ALAM: Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata semua ketua isi rumah yang terkesan akibat bencana wajar menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) setiap kali ditimpa musibah berkenaan berbanding kelayakan sebelum ini yang hanya diberikan sekali pada tempoh bencana.

Pemberian itu merupakan dasar kepada keprihatinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri baru-baru ini memutuskan supaya semua ketua isi rumah boleh menuntut BWI setiap kali ditimpa banjir dan bencana.

“Ini tertakluk kepada pengesahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) serta kelulusan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Sehubungan itu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat melalui NADMA, telah menyalurkan peruntukan ke setiap negeri dan daerah bagi agihan wang ihsan.

“JPBP juag sudah mengarahkan JPBN menyegerakan penyaluran bantuan wang ihsan kepada mangsa yang terjejas dan memudahkan lagi proses agihan,” katanya pada sidang media harian Ops Murni, hari ini.

Terdahulu, kerajaan pada semalam mengumumkan bantuan pengurusan kematian kepada waris mangsa yang terkorban dalam kejadian banjir dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 dan pembayaran akan diuruskan JPBD.

Dalam perkembangan berkaitan, Aminuddin berkata, seperti dimaklumkan sebelum ini, kerajaan sudah bersiap-sedia untuk mengatur-gerak menangani sebarang kemungkinan pasca bencana dan semua agensi Persekutuan diminta berbincang dengan JPBN dan JPBD bagi membantu kawasan-kawasan yang terkesan.

“Banjir di kebanyakan negeri telah mula surut dan pihak pengurusan bencana pusat melalui NADMA sudah mengeluarkan arahan kepada semua jawatankuasa di peringkat negeri dan daerah untuk merangka, menyelaras dan mengenal pasti tindakan segera aktiviti-aktiviti berkaitan pasca bencana.

“Di sini kita juga menyeru penggemblengan aset-aset kerajaan dengan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan supaya memberi perhatian kepada pentafsiran keperluan pasca bencana mangsa.

“Ia adalah ‘Post-Disaster Needs Assessment’ (PDNA) seperti peralatan memasak, bahan memasak, peralatan sekolah dan pembersihan ruang kemudahan awam,” katanya.

Katanya aktiviti pasca bencana juga membabitkan tindakan pemulihan perkhidmatan asas seperti bekalan air, bekalan elektrik, telekomunikasi dan pengurusan sisa pepejal.

BBerkaitan

Latest articles