Ketua Gabungan PH, PN Mengadap Agong Jam 4.30 Petang

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan kedua-dua ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk menghadap baginda di Istana Negara, jam 4.30 petang ini.

Keputusan itu dibuat selepas tiada Ahli Dewan Rakyat memperoleh kepercayaan majoriti mudah 112 untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda turut meminta supaya rakyat bersabar dan bertenang hingga proses pembentukan kerajaan baharu serta pencalonan Perdana Menteri ke-10 selesai.

Katanya, Al-Sultan Abdullah mendapati tiada sokongan majoriti diperoleh selepas baginda melaksanakan proses pengesahan terhadap sokongan yang diserahkan kepada Istana Negara oleh ketua parti dan gabungan politik.

“Proses ini (pengesahan) bertujuan supaya baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri, selaras Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Setelah dipersembahkan hasil pengesahan calon Perdana Menteri, adalah didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, seperti diperuntukkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat mendapat kepercayaan majoriti mudah, maka Seri Paduka Baginda menitahkan perkenan untuk ketua gabungan PH dan PN menghadap pada jam 4.30 petang ini di Istana Negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BBerkaitan

Latest articles