KUALA LUMPUR: Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting akhbar Sin Chew Daily ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan bahawa kedua-dua individu terbabit telah dibawa ke pejabat bagi mendapatkan komputer serta bahan berkaitan untuk siasatan lanjut.
“Kita telah menahan mereka bagi siasatan lanjut dan membawa dua individu terbabit ke pejabat untuk mendapatkan komputer serta barang berkaitan kes. Mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis malam ini,” katanya ringkas ketika dihubungi.
Difahamkan, kedua-dua individu tersebut — Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting — hadir ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman semalam dan memberikan keterangan selama tiga jam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas.
Menurut sumber, Ketua Editor berkenaan dipercayai meluluskan penyiaran ilustrasi yang menjadi kontroversi itu, manakala Timbalan Ketua Penyunting bertanggungjawab sebagai pereka grafik bagi gambar berkenaan.
Setakat ini, polis menerima sebanyak 40 laporan dari seluruh negara berkaitan isu tersebut. Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Terdahulu, pada Selasa lalu, Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapan akhbarnya sempena liputan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia. Namun, bendera yang dipaparkan tidak lengkap dan kesilapan tersebut menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.
Malah, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa dukacita dan menitahkan agar pengurusan serta jabatan pengarang akhbar berkenaan lebih peka serta menyemak bahan terbitan dengan teliti sebelum dicetak.
Susulan itu, Sin Chew Daily tampil memohon maaf secara terbuka dan menjelaskan bahawa kesilapan tersebut berpunca daripada masalah teknikal yang tidak disengajakan.