KUALA LUMPUR: Hampir semua ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak bersetuju dengan cadangan untuk menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 atau ‘poster boy’ Perikatan Nasional (PN).
Perkara itu didedahkan oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mendakwa majoriti pemimpin akar umbi parti tidak menyokong usul berkenaan.
“Majoriti ketua bahagian menolak idea untuk mengangkat Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri semula, atau pun sebagai poster boy gabungan,” katanya dalam program The Zaid Ibrahim Podcast, semalam.
Menurut beliau, Bersatu ketika ini berdepan pelbagai cabaran besar termasuk kekangan kewangan, keahlian yang semakin berkurang serta pejabat parti yang banyak ditutup dan langkah mencalonkan semula Muhyiddin hanya akan menjejaskan hubungan dengan Pas.
“Kalau kita buat keputusan macam ini, ia boleh menyinggung Pas. Dalam keadaan Bersatu paling lemah, akaun dibekukan, dan pengaruh semakin menurun, kita sekarang sangat bergantung kepada ihsan Pas di banyak kawasan,” ujarnya.
Wan Ahmad Fayhsal yang kini digantung keahlian Bersatu berkata, parti itu perlu lebih realistik terhadap kedudukannya dalam PN serta menghormati sensitiviti rakan sekutunya.
Katanya lagi, landskap politik Bersatu kini jauh berbeza berbanding ketika parti itu berada dalam kerajaan, kerana kini ia hanya memiliki jumlah kerusi yang lebih kecil berbanding Pas.