Ketokohan Juwairiya Sebagai Pemimpin Wanita Jadi Taruhan Lawan Azmin

KUALA LUMPUR: Ceramah Perpaduan Hulu Kelang malam tadi menyaksikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa beliau sendiri secara peribadi memilih Juwairiya Zulkifli sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang melawan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malah Presiden PKR itu yakin Juwairiya mempunyai ketokohan yang tinggi, dan mampu memberikan saingan cukup sengit buat Azmin, yang juga bekas Timbalan Presiden parti itu.

“Kat Azmin ini, kita hantar pemimpin wanita sahaja, tempat ini kita kena menang. Kita letak tokoh yang mudah patahkan Azmin.

“Pengundi di Selangor terutamanya di Hulu Kelang menolak pemimpin khianat yang diibaratkan bersikap seperti Raja Mendeliar dan Si Kitol. Sepanjang menjadi Menteri, dia (Azmin) asyik membuat plot jatuhkan kerajaan dengan Tun Mahathir supaya beliau kekal jadi PM dan Azmin jadi Timbalan Perdana Menteri.

“Sekali semua sudah tidak ada. Ahli Parlimen pun terlepas sekarang mahu menjadi Menteri Besar pula,” katanya pada Ceramah Umum di Taman Permata, malam tadi

Menyorot pengkhianatan Azmin, Anwar juga mengimbau sejarah terpalit dua watak pembelot itu dalam sejarah Melayu ada bukti menunjukkan individu berperangai sedemikian ditentang keras pada zaman dahulu.

“Orang Cina, India, Arab, Melayu… boleh layan orang khianat? Kalau kita baca sejarah Melayu, orang khianat itu dua namanya iaitu Raja Mendeliar dan Si Kitol. Si Kitol oleh kerana khianat, Sultan Melaka hukum sula terhadap dia,” ujarnya.

Sehubungan itu, pengundi di Hulu Kelang mesti membuat pilihan yang tepat dan menolak pihak yang mengkhianat melalui ‘Langkah Sheraton’ dilakukan olehnya sehingga kerajaan PH pada 2020 jatuh.

“Saya tidak mahu janji lebih-lebih ketika musim pilihan raya, jika Juwariya diberikan mandat saya akan berikan beliau terus ke pejabat Perdana Menteri untuk selesaikan isu-isu penduduk Hulu Kelang,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles