Ketirisan Maklumat 13 Juta Pengguna Malaysia Akan Disiasat

KUALA LUMPUR: Agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital akan menyiasat dakwaan wujud kebocoran hampir 13 juta maklumat pengguna dari beberapa badan di negara ini.

Menurut Menterinya, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang terlibat sekiranya dakwaan itu berasas.

“Ini satu dakwaan kebocoran yang serius melibatkan jumlah data yang banyak. Saya akan minta CyberSecurity Malaysia, Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia siasat apakah benar berlaku kebocoran data melibatkan pihak-pihak berkenaan.

“(Saya juga akan mengarahkan agensi ini) mengambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook rasminya hari ini.

Terdahulu, pentadbir laman Facebook Pendakwah Teknologi mendedahkan hampir 13 juta maklumat pengguna dari Maybank, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Astro telah bocor.

Mengikut hantaran di Forum Breach di bawah sub tajuk 13 juta pengguna bank bocor pada 25 Disember lalu dikatakan kira-kira 3.5 juta maklumat pengguna Astro bocor disusuli dengan 1.8 juta maklumat Maybank dan 7.2 juta maklumat SPR.

Antara maklumat yang bocor itu melibatkan nama pengguna, nama dan nama bapa, tarikh lahir, alamat dan nombor kad pengenalan.

Menurut pentadbir laman Facebook Pendakwah Teknologi, kebocoran maklumat itu merupakan satu masalah yang lebih besar daripada iklan scam di media sosial.

BBerkaitan

Latest articles