Ketepikan Perbezaan Kabilah Demi Kejayaan Kerajaan Perpaduan – TPM

KUALA LUMPUR: Isu kestabilan politik perlu menjadi keutamaan bagi gabungan politik yang menyertai dan menyokong Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata meskipun setiap pihak yang bersama kerajaan mempunyai pelbagai kabilah, namun ia perlulah diketepikan demi rakyat dan negara.

“Walaupun kita berkabilah yang berbeza namun realiti yang berada di hadapan kita, hendaklah disampingkan perbezaan pegangan antara kita.

“Jika ada pun perbezaan pendapat itu ada kaedah yang harus dilaksanakan secara tasawuf dan penuh akhlak yang tinggi dan ada harus ditangani mengikut prinsip utama siasah Islamiah.

“Maka kita harus berpijak di bumi yang nyata dan mengakui realiti bahawa kestabilan politik harus diwujudkan biarpun kita berbeza pendapat tapi dengan tidak berhasrat untuk tidak merosakkan kestabilan politik di negara ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan 40 tahun dan mesyuarat agung Koperasi Peserta Felcra Malaysia Berhad di ibu negara.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai reaksi terhadap persetujuan antara lima gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menyokong Kerajaan Perpaduan dan menandatangani perjanjian persefaham (MoU) semalam.

Dalam MoU tersebut, gabungan itu bersetuju menjunjung kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan memelihara serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, pihaknya tidak mahu berlaku lagi pertukaran kerajaan.

Malah kata Ahmad Zahid, langkah itu perlu bagi memastikan kerajaan dapat terus fokus kepada aspek pembangunan negara dan memacu pertumbuhan ekonomi.

“Selepas PRU15 dan kerajaan perpaduan telah terbentuk maka semua parti politik yang manifestonya adalah untuk membangunkan negara dan memacu pertumbuhan ekonomi dan mengwujudkan kestabilan politik harus diterjemahkan komitmen ini selepas daripada kerajaan bari terbentuk.

“Walaupun kita tahu pada Isnin nanti ada sidang khas Dewan Rakyat yang antaranya akan memberikan keabsahan kepada kerajaan Perpaduan Malaysia ini bagi menentukan tempoh satu penggal ini tidak akan terdapat lagi pertukaran kerajaan yang akan menyebabkan berlakunya ketidak stabilan politik dan ini telah mengekang pertumbuhan ekonomi negara serta masalah yang berkaitan dengannya dihadapi oleh rakyat pada keseluruhannya,” jelas Ahmad Zahid lagi.

BBerkaitan

Latest articles