Ketepi Perbezaan Pendapat Mampu Julang BN Sebagai Kerajaan Dominan Semula

 

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mampu menjadi milik Barisan Nasional (BN), sekaligus membawa gabungan itu menjadi kerajaan dominan sekiranya kesemua pihak mengenepikan masalah dalaman parti.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menggesa kesemua pihak di dalam gabungan itu bersatu-hati dan bekerjasama, dan dalam masa yang sama kekuatan itu mampu menarik parti-parti politik yang mesra-BN.

“Kita ketepikan masalah ‘inter-party’ (antara pihak dalam BN), kita ketepikan perbezaan politik dan kita bawa rakan-rakan lain (parti mesra BN) agar menang PRU15,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-75 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Apatah lagi, rakyat pada hari ini mendambakan sebuah kerajaan yang stabil dari segi ekonomi, dan itu dapat dilihat pada sejarah BN yang menjadi kerajaan lebih tujuh dekad.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini menyaksikan betapa rakyat Malaysia merindukan gabungan itu untuk kembali menerajui pentadbiran negara.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama beliau menasihatkan semua pihak di dalam BN untuk tidak berasa angkuh dengan perkembangan berkenaan.

“Kita lihat pada PRK (Pilihan Raya Kecil) Sungai Besar, kita menang majoriti besar tetapi PRU-14 kita kalah di kawasan itu. Kemenangan yang berlaku tidak semestinya menjadi templat atau acuan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memberi jaminan kepada MIC bahawa kerusi-kerusi tradisi milik parti itu tidak akan ditandingi oleh mana-mana parti yang mesra BN pada PRU15.

Sebaliknya, parti-parti mesra BN akan memberi sokongan kepada setiap parti komponen untuk menang.

BBerkaitan

Latest articles