PUTRAJAYA: Ketidaktentuan politik semada tanah air memberi kesan kepada sosio-politik-ekonomi, begitu juga dengan pentadbiran negara yang menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dan kerajaan memerintah bersilih ganti dalam penggal sama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan ia sejarah yang belum pernah berlaku dalam negara ini sebelum ini.
Beliau berkata, percakaran tanpa henti antara pemain politik bagaimanapun dapat dikekang daripada berterusan dengan membawa pihak-pihak terbabit ke meja rundingan bagi meredakan keadaan.
“Pemulihan kesihatan dan ekonomi yang terus mengukuh tidak terkecuali daripada berdepan ketidaktentuan politik yang terus menggugat kestabilan. Umpama peribahasa ’empang sampai ke seberang, dinding sampai ke langit’.
“Kami mencari kebersamaan, bukan perbezaan. Kami mencari kesepakatan, bukan perpecahan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung, sebentar tadi.
Katanya, natijah semangat Keluarga Malaysia berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran diterjemahkan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, limpahan hikmah dan rahmat tuhan memanfaatkan seluruh Keluarga Malaysia dan kesepakatan itu membolehkan kerajaan melaksanakan beberapa transformasi yang signifikan.
Antaranya, pindaan perlembagaan mengenai larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, pindaan perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Akta Antigangguan Seksual.