“Kesilapan Tak Boleh Diterima”, Tegas Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan rasa kecewa terhadap kesilapan sebuah akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, yang memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit di muka hadapannya.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Baginda, Sultan Ibrahim bertitah bahawa kesilapan sedemikian tidak boleh diterima dan menggesa agar pengurusan serta jabatan pengarang akhbar berkenaan lebih peka dan bertanggungjawab terhadap kandungan yang disiarkan.

“Bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni. Ia adalah lambang kedaulatan, identiti negara, dan semangat perjuangan rakyat. Kita kibarkan Jalur Gemilang dengan rasa bangga dan patriotik, bukan untuk dipermainkan,” titah Baginda.

Baginda turut menegaskan bahawa kegagalan untuk menyemak bahan siaran sebelum diterbitkan berpotensi mencetuskan sensitiviti dalam kalangan rakyat, khususnya dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Insiden yang berlaku pada 15 April itu mendapat perhatian ramai selepas ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap dipaparkan bersebelahan bendera China, sekali gus menimbulkan kemarahan dan kecaman orang ramai di media sosial.

Susulan itu, Sin Chew Daily telah tampil memohon maaf dan menyifatkan kejadian tersebut sebagai kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Mereka juga meminda versi digital dan menyatakan akan menerbitkan semula versi yang betul dalam cetakan.

Dalam pada itu Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan siasatan dan mengambil langkah tegas dengan memanggil wakil akhbar terbabit untuk siasatan serta menyerahkan surat tunjuk sebab.

Siasatan dijalankan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].

BBerkaitan

Latest articles