Kesihatan Merosot, Abdul Hadi Masuk Hospital

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan dan pemantauan oleh doktor.

Berkongsi keadaan bapanya di hospital, menurut Muhammad Khalil, kesihatan Ahli Parlimen Marang berkenaan sedikit merosot sebelum sambutan Hari Raya AidilAdha pada Khamis lalu.

“Assalamualaikum, mohon doa dan solat hajat khusus untuk kesembuhan Ayahanda Tuan Guru.

“Kesihatan ayahanda sedikit merosot sebelum Aidiladha dan kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital,” katanya melalui kenyataan ringkas di media sosial.

Muhammad Khalil juga memaklumkan Abdul Hadi juga sudah tidak sihat ketika melancarkan jentera pilihan raya Perikatan Nasional Terengganu lima hari lalu.

“Malah kehadiran ayahanda ke pelancaran jentera pilihan raya DPPN Terengganu tempoh hari sudah pun dalam keadaan keuzuran namun tetap digagahkan dirinya.

“Semoga Allah mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada Ayahanda Tuan Guru, berkat doa yang dipanjatkan oleh kita semua.”

BBerkaitan

Latest articles