Kesetiaan Kepada Parti Tak Terhakis Walau Berbeza Pandangan, Tuntut Demokrasi

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan, meskipun beliau mempunyai pandangan berbeza dengan pucuk pimpinan dan tindakan menuntut proses demokrasi dihormati, ia tidak bermakna beliau tidak setia kepada parti.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata demikian melalui Instagram Story miliknya, hari ini.

“UMNO milik ahlinya semua, bukan MT (Majlis Tertinggi) sahaja,” tambahnya.

Difahamkan, UMNO sedang mempertimbangkan tindakan disiplin terhadap beberapa ahli parti termasuk Khairy yang sejak kebelakangan ini lantang mengkritik keputusan pucuk pimpinan.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 baru-baru ini, Khairy merayu kepada para perwakilan agar tidak membiarkan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan diluluskan.

Menurut beliau, mereka tidak seharusnya terpengaruh dengan naratif pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden akan membawa kepada perpecahan.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berpandangan, perwakilan seharusnya diberi kebebasan untuk memilih pucuk pimpinan parti.

Selain itu, Khairy turut membangkitkan isu tanda nama perwakilan pada kerusi di dalam Dewan Merdeka yang ditanggalkan seperti yang didakwa menerusi rakaman video tular dalam media sosial.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dijangka membuat keputusan hari ini berhubung tindakan terhadap Khairy dan beberapa ahli parti yang lain.

BBerkaitan

Latest articles