Susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong yang menolak cadangan darurat oleh kerajaan semalam, kesemua ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) mengadakan mesyuarat pada hari ini.
Antara yang dilihat hadir ke Bangunan Umno di PWTC adalah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak; veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, ahli parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan timbalan speaker Dewan Rakyat yang juga anggota parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Dikatakan mesyuarat itu akan membincangkan pelbagai perkara berhubung titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas baginda mengadakan mesyuarat bersama Raja-Raja Melayu, petang semalam.
Terdahulu pada pagi tadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan mesyuarat bersama ketua-ketua parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum bergegas pula ke mesyuarat kabinet.