Dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrhaim kononnya beliau mendapat sokongan dua pertiga daripada wakil rakyat di Parlimen untuk membentuk kerajaan baru disifatkan sebagai tidak berasas.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan bahawa kesemua ahli parlimen dari parti itu juga kekal menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus mentadbir negara.
“Semua ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sentiasa memberikan sokongan penuh tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 dan tidak terlintas sedikit pun untuk berpendirian sebalikya.
“Dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mendapat sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu adalah sebuah dakwaan tidak berasas dan bersifat rekaan semata-mata.
“Percaturan beliau untuk menubuhkan kerajaan baharu ini membuktikan bahawa beliau seorang ahli politik yang mementingkan diri dan sanggup meletakkan cita-cita peribadi ingin menjadi Perdana Menteri melampaui segalanya sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan rasmi parti itu hari ini.
Hamzah juga membidas tindakan Anwar di kala rakyat sedang tertekan dengan pandemik Covid-19 yang telah memberi pelbagai kesan kepada nereka.
“Sehubungan dengan itu, Bersatu menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk tidak menghiraukan dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson serta terus memberikan kerjasama padu kepada kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19 dan seterusnya memulihkan semula ekonomi negara,” katanya lagi.
Reaksi itu merujuk kepada dakwaan terbaru Anwar bahawa beliau akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah pada Selasa ini untuk mempersembahkan jumlah sokongan yang diperolehinya bagi membolehkan membentuk kerajaan baru.
Pada sidang media tergemparnya 23 September lalu, Anwar mengumumkan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan baharu.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan bahawa majoriti yang diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.