Keselamatan Pengundi Perlu Jadi Keutamaan Dalam PRN Johor

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diharap dapat memberi panduan mengenai keupayaan bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang ditetapkan pada 12 Mac depan susulan peningkatan kes harian COVID-19 akibat gelombang Omicron.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pandangan dan nasihat SPR itu perlu bagi memastikan sama ada pengundi dapat dilindungi sepanjang kempen PRN berkenaan yang bermula 26 Februari ini sehingga hari pengundian.

“Kita maklum SPR sudah menentukan tarikh penamaan calon, undi pos dan tarikh mengundi. Saya juga sudah bertanya kepada Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) dan dimaklumkan bahawa gelombang Omicron tidak membawa sistem kesihatan kepada tahap menjadi lebih bahaya.

“Namun, dengan jangkitan sederhana, saya yakin SPR akan memberi pandangan. Saya lihat ada perkara yang perlu dipertimbangkan, iaitu nyawa dan kehidupan. Jadi saya berharap SPR akan menasihatkan mengenai keupayaan bagi pelaksanaan PRN Johor,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama di antara MWEV Sdn Bhd dan syarikat EZ-Charge, hari ini.

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menangguhkan PRN Johor atau membenarkan parti yang bertanding untuk berkempen secara terbuka.

Pimpinan pembangkang menerusi kenyataan bersama, menegaskan ia bagi memastikan tiada pihak menjadikan peningkatan kes COVID-19 sebagai alat bagi tujuan politik walaupun jangkitan harian menunjukkan trend peningkatan akibat varian Omicron.

BBerkaitan

Latest articles