KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memberi jaminan bahawa keselamatan negara berada dalam keadaan terkawal susulan insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada Sabtu lalu.
Dalam sidang media, beliau menegaskan bahawa keselamatan awam adalah keutamaan tertinggi kementeriannya, terutama pihak polis.
“Kami memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan negara terkawal. Tidak perlu panik atau bimbang hanya kerana insiden ini,” katanya.
Saifuddin turut memuji tindakan pantas polis dalam menangani kejadian tersebut, termasuk mengenal pasti suspek dengan cepat, yang menurutnya mencerminkan tahap kesiapsiagaan dan kompetensi tinggi pasukan keselamatan.
“Kalau kompetensi polis lemah, tentu kita masih terkial-kial lagi,” tambahnya.
Beliau juga mengakui kebimbangan masyarakat berhubung penggunaan senjata api tetapi menegaskan bahawa Malaysia mempunyai kawalan ketat terhadap pemilikannya.
“Pemilikan senjata api di Malaysia memerlukan lesen sah. Tanpa lesen, ia adalah kesalahan jenayah berat yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun,” jelasnya.
Menurutnya, pihak berkuasa melakukan tapisan ketat terhadap pemohon permit senjata api, melibatkan pelbagai peringkat pemeriksaan di Bukit Aman dan kementeriannya.
Namun, Saifuddin berkata kejadian di Setia Alam menunjukkan perlunya semakan semula modul latihan bagi pengawal keselamatan dan polis bantuan.
“Latihan asas pengawal keselamatan diberikan oleh polis, tetapi insiden ini memberi perspektif baharu kepada kami. Sudah tiba masanya modul dan silibus latihan dikemas kini,” katanya.
Sementara itu, Bukit Aman mengesahkan suspek merupakan lelaki berusia sekitar 30-an dan dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.
Suspek juga mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, namun identitinya masih belum didedahkan.