KUALA LUMPUR: Mahkamah Koroner hari ini dimaklumkan bahawa kesan darah yang ditemui pada lembaran kertas bertulisan tangan Allahyarham Zara Qairina Mahathir disahkan sepadan dengan profil DNA remaja berusia 13 tahun itu.
Pengesahan itu dibuat oleh ahli kimia Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saedon, 52, yang memberi keterangan sebagai saksi ke-17 dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurut beliau, analisis makmal menunjukkan kesan darah pada kertas bertanda Y8 dan Y1 sepadan dengan DNA yang diambil daripada spesimen tulang bertanda WK37, yang disahkan milik Zara Qairina.
“Kesan darah yang ditemui pada kedua-dua kertas itu adalah konsisten dan datang daripada individu yang sama,” katanya dalam keterangannya.
Nor Aidora turut memaklumkan bahawa kesan darah turut ditemui pada kertas bertanda WK15(9)(a) serta DNA kesan sentuhan daripada buku bertanda WK13, yang juga padan dengan profil DNA arwah.
Beliau menjelaskan, ujian terhadap beberapa barangan lain seperti beg alat tulis (WK1a), buku WK9 dan WK14 serta selimut WK27 menunjukkan wujud campuran DNA, terdiri daripada seorang penyumbang utama wanita dan sekurang-kurangnya dua penyumbang minor.
“Profil DNA utama dalam campuran itu adalah milik Zara Qairina, manakala penyumbang minor tidak dapat dikenal pasti secara muktamad,” katanya.
Nor Aidora berkata, pemeriksaan terhadap beg barang bukti bertanda Y8 mendapati terdapat beberapa kesan darah pada sekeping kertas di dalamnya. Tujuh kawasan diuji dan dilabel sebagai Y8(i) hingga Y8(vii).
Manakala pada 20 Ogos, beliau turut menemui dua kesan darah pada kertas bertanda Y1, yang kemudian diambil sebagai sampel Y1(i) dan Y1(ii) untuk analisis.
Beliau menjelaskan semua barang bukti termasuk pakaian, buku, lembaran kertas, tulang dan putik kapas berdarah diterima dalam keadaan tertutup dan utuh, serta berada di bawah pengawasannya sepanjang proses analisis.
“Tiada sebarang usikan terhadap barang bukti. Selepas analisis selesai, semuanya dikembalikan ke dalam pembungkusan asal,” katanya.
Dalam prosiding terdahulu pada 8 September, pemeriksa dokumen Nurul Atiqah Mohd Noh daripada jabatan sama turut mengesahkan bahawa tulisan tangan pada dokumen bertanda Y1 hingga Y15, serta W1 dan W2, adalah konsisten dengan tulisan tangan Zara Qairina.
Nor Aidora dalam keterangannya turut menjelaskan secara ringkas tentang proses pemprofilan DNA, yang menurutnya adalah kaedah saintifik bagi mengenal pasti individu melalui 21 lokus genetik unik yang diwarisi daripada ibu bapa.
Makmal DNA Jabatan Kimia Malaysia, katanya, dilengkapi peralatan bertauliah antarabangsa seperti Real-Time PCR, Thermal Cycler dan Genetic Analyser, serta mematuhi prosedur forensik global.
“Saya telah menjalankan ratusan analisis DNA untuk kes jenayah seperti pembunuhan, rogol, penculikan dan kes lain. Setakat ini, semua keterangan saya diterima mahkamah,” jelasnya.
Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina diteruskan dengan keterangan beberapa saksi pakar lain yang dijangka memberi tumpuan terhadap aspek forensik dan kronologi kejadian.