MIRI: Polis menutup siasatan berhubung video tular memaparkan sekumpulan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) mengangkat seorang rakan mereka dalam keadaan terkangkang sehingga terkena tiang, selepas mendapati insiden itu hanyalah gurauan sesama rakan.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Farhan Lee Abdullah berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) selepas siasatan mendapati tiada unsur paksaan atau penderaan berlaku.
“Pada 23 September lalu, pelajar yang didakwa sebagai mangsa hadir bersama ibu bapanya membuat laporan polis. Pelajar itu sendiri menafikan dia dibuli dan mengesahkan kejadian tersebut hanya gurauan pada sambutan hari lahirnya, 19 September,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak institut turut menjalankan siasatan dalaman dan mengesahkan tindakan itu hanyalah gurauan keterlaluan.
Namun, pihak pengurusan akan tetap mengambil tindakan disiplin terhadap semua pelajar terlibat.
Farhan menegaskan, meskipun insiden kali ini tidak melibatkan jenayah buli, polis tetap memandang serius sebarang kes seumpamanya kerana ia berpotensi mencetuskan kecederaan, trauma serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
“IPD Miri akan terus memantau dan tidak akan berkompromi sekiranya ada laporan baharu atau bukti menunjukkan wujudnya elemen buli,” katanya.