KUALA LUMPUR: Pengurus agensi pelancongan, Hafizul Hawari yang didakwa cuba membunuh bekas isterinya dan mencederakan seorang pengawal peribadi di KLIA, memohon untuk menjalani proses rundingan pengakuan bersalah (plea bargaining) di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Permohonan itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, semasa prosiding perbicaraan pertama di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
“Peguam tertuduh telah menyatakan hasrat untuk memasukkan tawaran rundingan pengakuan bersalah. Pihak pendakwaan akan meneliti permohonan tersebut,” katanya.
Mahkamah menetapkan 17 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes bagi keputusan lanjut berkaitan permohonan itu.
Hafizul, 39, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan utama cuba membunuh bekas isteri, Farah Md Isa, 39, di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA pada jam 1.09 pagi, 14 April 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dimana jika bersalah dia boleh dihukum penjara hingga 20 tahun.
Hafizul juga didakwa mencederakan pengawal peribadi, Mohd Nur Hadith Zaini, menggunakan senjata api di tempat dan masa sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan akan dipenjarakan hingga 20 tahun, denda atau sebat.
Tertuduh diwakili peguam Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman dan Muhammad Syafiq Mohamad Lazim, manakala pendakwaan turut dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz.
Plea bargaining adalah proses rundingan antara pendakwaan dan pembelaan, di mana tertuduh bersetuju mengaku salah sebagai balasan kepada hukuman yang diringankan atau gugurnya beberapa pertuduhan, tanpa perlu melalui proses perbicaraan penuh.