Kes Tembak Di Setia Alam: Suspek Ada Sembilan Rekod Jenayah Dan Pernah Dipenjara

PELABUHAN KLANG: Polis mengesahkan bahawa suspek kejadian tembak di Setia City Mall pada 8 Februari lalu, maut ditembak mati dalam satu insiden tembak-menembak dengan pihak polis di Pulau Ketam awal pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa suspek, seorang lelaki berusia sekitar 30-an dari Klang, mempunyai sembilan rekod jenayah lampau dan pernah dipenjarakan atas kesalahan samun.

Katanya, sejak setahun lalu, suspek bergerak secara solo dan dipercayai terlibat dalam 15 kes jenayah, termasuk samun kedai emas di Kajang dan Klang.

Menurut beliau lagi, selepas insiden tembakan di Setia City Mall pada 8 Februari lalu, pihak polis segera melancarkan operasi untuk menjejaki suspek.

Dia dipercayai telah melarikan diri ke selatan Malaysia sebelum kembali ke Banting, kemudian ke Sabak Bernam, dan akhirnya ke Pulau Ketam. Sepanjang pelariannya, suspek menggunakan ugutan bersenjata terhadap pemandu Grab dan pemandu lori bagi membolehkannya bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas kejadian di Setia City Mall, suspek melarikan diri dari Klang ke selatan Malaysia dan berada di sana selama lima hari sebelum kembali ke Banting.

Dua hari lalu, dia dikesan di Sabak Bernam, di mana suspek sempat melakukan satu kejadian pecah rumah dan mencuri motosikal sambil menunjukkan senjata api.

Selepas insiden di Setia City Mall, suspek melakukan lima lagi kesalahan, termasuk samun, menunjukkan senjata api, dan pecah rumah.

Mengulas mengenai insiden pagi tadi, Hussein berkata, ketika polis cuba menahan suspek di Pulau Ketam sekitar jam 3 pagi, dia melepaskan tembakan ke arah anggota polis, memaksa pasukan keselamatan untuk bertindak balas.

Suspek ditembak mati di tempat kejadian, dan pihak berkuasa turut menjumpai dua pucuk pistol bersama peluru yang sedia digunakan.

Polis sedang menyiasat sumber senjata api yang digunakan oleh suspek, sama ada diperoleh dari pasaran gelap atau melalui jaringan jenayah lain.

Dalam pada itu, Hussein berharap orang ramai tidak perlu risau kerana suspek, yang selama ini bergerak dengan senjata api dan terlibat dalam pelbagai kes jenayah serta samun terhadap orang awam, telah berjaya dilumpuhkan.

BBerkaitan

Latest articles