More

    Kes SRC: Nasib Najib Razak Ditentukan Hari Ini

    Keputusan terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkenaan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diketahui hari ini.

    Sejak awal pagi tadi, kelihatan ramai penyokong Najib sudah berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta untuk memberikan sokongan.

    Kawalan ketat dilangsungkan pada hari ini dan hanya pemberita dan jurugambar yang mempunyai pas media sahaja dibenarkan untuk membuat liputan kes berprofil tinggi ini.

    Untuk rekod, Najib diarahkan untuk membela diri pada 3 Disember tahun lalu dan menggunakan tempoh lebih dari sebulan untuk membersihkan namanya dengan mengemukakan 19 saksi atas tujuh tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang bernilai RM42 juta.

    Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan, manakala pendakwaan kes ini diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, Datuk V. Sithambaram.

    Perbicaraan SRC International telah bermula pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama.

    Lebih 750 eksibit termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank Najib dikemukakan pihak pendakwaan, selain dokumen transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan menerusi Blackberry Messenger berhubung transaksi bekas perdana menteri itu.

    Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan Najib berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

    Bagi tuduhan pengubahan wang haram pula memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun.

    Ahli Parlimen Pekan itu kekal dengan pengakuan tidak bersalah dan menafikan dirinya tahu tentang wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Ambank antara Disember 2014 dan Februari 2015 itu adalah dari SRC International.

    Pasukan pembelaan Najib turut mengaitkan penglibatan Low Taek Jho, atau Jho Low yang didakwa melakukan pecah amanah dan rasa ragu Najib terhadap ahli perniagaan itu yang masih menyembunyikan diri sehingga kini.

    Jho Low juga dipilih sebagai penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi menentukan hala tuju Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dalam pembangunan di negeri Terengganu, sepertimana memetik kenyataan bersumpah Najib.

    Pada November tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan Najib membela diri atas kesemua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membukti satu kes prima facie terhadapnya.

    Dalam penghakimannya Mohd Nazlan memutuskan Najib menggunakan kedudukan atau kuasanya bagi mendapatkan ganjaran dan menggunakan dana SRC yang beliau mempunyai kepentingan untuk kepentingan peribadi dan manfaat sendiri.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini