KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah melibatkan dua bekas menteri, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Rafizi Ramli, selesai secara baik selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menamatkan pertikaian itu di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Saman berkenaan difailkan Tuan Ibrahim, yang juga Timbalan Presiden PAS, berhubung dakwaan Rafizi pada 2022 kononnya beliau meluluskan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion selepas pembubaran Parlimen.
Peguam Tuan Ibrahim, Yusfarizal Yussoff, memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman, Avinder Singh Gill, bahawa plaintif bersetuju menarik balik tuntutan tersebut tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
Perbicaraan kes itu sepatutnya bermula minggu ini.
“Plaintif telah bersetuju menarik balik tuntutan selepas perbincangan bersama defendan,” katanya.
Peguam Rafizi, Azhar Arman Ali, yang turut dibantu oleh Nik Zarith Nik Moustapha dan Adi Zulkarnain, mengesahkan persetujuan tersebut di hadapan mahkamah.
Dalam kenyataan bersama, Rafizi dan Tuan Ibrahim menyatakan penyelesaian itu dicapai demi kepentingan awam dan bagi mengelakkan salah faham berpanjangan yang boleh menjejaskan kestabilan politik.
Tuan Ibrahim memfailkan saman itu pada 2022 selepas Rafizi menuduh beliau meluluskan kontrak projek tebatan Sungai Langat bernilai RM2 bilion kepada sebuah syarikat dikaitkan dengan Umno.
Rafizi mendakwa kontrak itu adalah yang kedua dianugerahkan kepada syarikat sama dalam tempoh enam bulan.
Namun, Tuan Ibrahim menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan tiada kelulusan diberikan selepas Parlimen dibubarkan, malah mencabar Rafizi membuat laporan rasmi kepada SPRM.
Pada ketika itu, Tuan Ibrahim merupakan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA).