Kes Rogol Di Kelantan Meningkat Kerana Tiada Kawalan Penggunaan Media Sosial – Exco

KOTA BHARU: Tiada kawalan dan kurang pemantauan penggunaan media sosial oleh ibu bapa kepada golongan remaja di Kelantan antara punca peningkatan kes gejala sosial termasuk rogol di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Rohani Ibrahim berkata, selain pengaruh rakan sebaya, akses tanpa had terhadap kandungan yang tidak ditapis dilihat menyumbang kepada tingkah laku yang bersifat negatif dalam kalangan golongan muda.

“Malah, baru-baru ini seorang pelajar perempuan dirogol oleh lelaki yang dikenali menerusi aplikasi sosial media hingga sanggup meredah perjalanan yang jauh semata-mata untuk bertemu lelaki tersebut.

“Perkara ini (gejala sosial) bukan sahaja perlu peranan daripada kerajaan negeri bahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM juga perlu mengambil tindakan tegas bagi menangani masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Liputan Media Sempena Karnival Rakyat di Kompleks Kota Darul Naim, semalam.

Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mendedahkan dua pelajar perempuan berusia 14 tahun sanggup meredah perjalanan lebih 500 kilometer menaiki motosikal dari Tumpat ke Kulim, Kedah, semata-mata untuk bertemu seorang lelaki yang tidak pernah mereka temui sebelum ini.

Beliau berkata, pertemuan pertama itu, bagaimanapun berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka mendakwa menjadi mangsa rogol oleh lelaki berusia lingkungan 30-an yang dikenali melalui aplikasi media sosial.

Mengulas lanjut, Rohani berkata, ibu bapa dan penjaga juga perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memantau aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka termasuk menetapkan had masa penggunaan gajet serta memberi pendidikan awal berkaitan keselamatan digital.

“Pihak kerajaan negeri pula, kita telah melakukan beberapa usaha sebagai inisiatif untuk mengurangkan kes gejala sosial termasuk menggunakan Dasar Pendidikan Rabbani untuk sekolah Yayasan Islam Kelantan sejak sekian lama bagi mendidik pelajar termasuk akhlak yang baik.

“Selain itu, kita juga turut mempunyai Mawaddah Centre sejak 2022 untuk melaksanakan program membabitkan fardhu ain seperti pendedahan had pergaulan antara lelaki dan perempuan, selain menjadi pusat aduan untuk masalah gejala sosial. Untuk tahun lalu, kita telah menyelesaikan hampir 250 kes termasuk isu penceraian suami isteri, perbalahan keluarga dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, mengenai Karnival Rakyat yang akan diadakan empat hari bermula 29 Julai di Masjid Jamek Muhammadi, beliau menjangkakan hampir 10,000 pengunjung dari Kelantan menyertai program tersebut.

“Kita merangka pelbagai program seperti penganugerahan tokoh kepada mereka yang layak, selain dalam perancangan untuk mencipta rekod ‘Malaysia Book of Records’  bagi acara Program Jahit Kasih yang membabitkan 1,000 tukang jahit,” katanya. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles