Kuala Lumpur, – Saksi pendakwaan, Datuk Eddie Ng Chee Siong, 52, menyatakan beliau terkejut apabila dimaklumkan tentang laporan polis yang dibuat tertuduh, Ng Shih Fang (Dino), berhubung pemilikan sebuah MPV Vellfire bernombor pendaftaran BPR 3108. Kenderaan itu menjadi pertikaian dalam kes melupuskan harta syarikat Revenue Group Berhad tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah.
Eddie, yang ditunjukkan laporan polis bertarikh 2 Januari 2023, mengakui tidak mengetahui bahawa tertuduh telah membuat laporan polis bagi melindungi dirinya berkaitan pemilikan kenderaan tersebut.
Pada sesi pemeriksaan balas, beliau diasak dengan pelbagai soalan oleh peguam Datuk Amer Hamzah hingga membawa kepada pendedahan beberapa isu lain termasuk laporan polis berkenaan.
Antara yang didedahkan adalah kelemahan tadbir urus korporat syarikat serta dasar Corporate Governance yang tidak pernah dilaksanakan secara menyeluruh walaupun digariskan jelas dalam dokumen rasmi.
Eddie, selaku saksi utama yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), mengakui beberapa klausa utama berkaitan ketelusan maklumat dan tanggungjawab pengurusan tidak dipatuhi sepenuhnya.
Beliau juga mengaku di mahkamah bahawa jawatankuasa yang sepatutnya menjadi platform rasmi bagi membincangkan maklumat material “tidak pernah bermesyuarat dan tidak wujud secara formal”, menjadikan dasar itu hanya sekadar dokumen di atas kertas.
Selain itu, beliau mengesahkan isu berhubung pendaftaran sebuah kereta atas nama seorang pengarah iaitu Dino tidak pernah dibawa ke mesyuarat lembaga dari 2018 hingga 2022, meskipun kenderaan itu diiktiraf sebagai aset syarikat yang dipegang atas dasar amanah.
Eddie turut mengakui kelemahan utama adalah ketiadaan resolusi lembaga, bukannya status pemilikan aset tersebut.
Kes didengar di hadapan Hakim Tuan Rosli Ahmad dan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Selain Amer, pihak pembelaan turut diwakili Tan Sri Dzulkifli Ahmad manakala pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Low Chin How